BTS Media

Kereta AI tanpa pemandu langgar pejalan kaki

Oleh Yusoff A Shariff

SEBUAH kereta tanpa pemandu menggunakan AI di China dilaporkan telah melanggar seorang pejalan kaki.

Bagaimana pun, dalam media sosial orang ramai menyebelahi syarikat pengeluar kereta tersebut, kerana mangsa melintas di hadapan lampu isyarat.

Pengendali kenderaan itu, syarikat teknologi gergasi China, Baidu berkata dalam satu kenyataan bahawa kereta tersebut mula bergerak apabila lampu bertukar hijau dan hanya terkena sedikit si pejalan kaki yang tidak mempedulikan lampu isyarat.

Mangsa dibawa ke hospital di mana pemeriksaan mendapati tiada kecederaan serius pada tabuhnya, kata Baidu.

Kejadian pada 7 Julai di bandaraya Wuhan itu menyerlahkan cabaran yang dihadapi oleh pemanduan autonomi (tanpa pemandu) dalam keadaan kompleks, kata saluran berita kewangan China Yicai.

Media itu memetik seorang pakar berkata teknologi tersebut mungkin mempunyai had-had tertentu apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak konvensional, seperti apabila kenderaan lain atau pejalan kaki melanggar peraturan jalan raya.

Imej yang dikongsi dalam talian menunjukkan pejalan kaki itu terduduk di atas jalan raya di hadapan kereta tanpa pemandu yang dilengkapi alat pengesan (sensor) pada bahagian bumbungnya.

Akhbar Shangjai Daily melaporkan tentang komen-komen dalam media sosial yang sebahagian besarnya menyokong syarikat Baidu, kerana pejalan kaki itu lalai dan melanggar undang-undang.

Menurut akhbar itu dalam catatan di X, Baidu yang merupakan syarikat pengendali enjin carian dan kecerdasan buatan (AI) berpangkalan di Beijing adalah peneraju dalam pembangunan kaedah pemanduan autonomi di China.

Operasi “RobotTaxi” terbesarnya, dengan armada 300 kereta, berpangkalan di Wuhan, bandar raya yang melaporkan mulanya jangkitan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020.

Perkhidmatan pengangkutan Apollo Go, juga beroperasi secara terhad di tiga bandar raya China lain, iaitu Beijing, Shenzhen dan Chongqing.

Syarikat yang telah melancarkan generasi keenam teksi tanpa pemandunya pada bulan Mei, berkata ia telah mengurangkan kos unit sebanyak lebih separuh kepada paras harga di bawah AS$30,000 (RM141,285).

-BTS Media

Leave a Comment