GAMBAR ATAS: DBKL.
Oleh Zainal AS Rashid
SETELAH sekian lama dibangkitkan oleh orang ramai, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula bertindak ke atas kereta dan motosikal yang menggunakan laluan pejalan kaki dan OKU sebagai tempat parkir.
Semalam (9 Feb) sejumlah enam kereta dan lapan motosikal ditunda oleh petugas bahagian penguat kuasa DBKL kerana melakukan kesalahan tersebut.
DBKL berkata, tindakan turut diambil ke atas kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan parkir berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar.
Tindakan diambil susulan begitu banyak aduan dan maklum balas yang diterima oleh DBKL mengenai kenderaan yang menggunakan kawasan larangan parkir.
Menurut DBKL dalam catatan Facebook pada Khamis, Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan akan melancarkan beberapa siri tindakan secara berkala di kawasan yang sering didapati berlaku pelanggaran peraturan.
“Pada tindakan kali ini, kenderaan yang ditarik dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut, termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara.”
Sebanyak 44 notis kompaun bersabit pelbagai kesalahan lalu lintas lain turut dikeluarkan sepanjang waktu operasi tindakan DBKL.
Kesemua tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Pastikan kenderaan (motosikal/kereta) diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas,” kata kenyataan itu lagi.
-BTS Media