BTS Media

Mahkamah tolak permohonan Najib untuk sambung hukuman tahanan di rumah

BEKAS perdana menteri Najib Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya bagi menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Rabu (3 Julai) menolak permohonan Najib berhubung kewujudan dokumentasi tambahan (adendum) yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan bahawa semua afidavit yang mendakwa kewujudan adendum itu hanyalah khabar angin semata-mata.

Mahkamah juga memutuskan bahawa afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.

Menurut Amarjeet, kedua-dua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dikatakan mendakwa wujud titah adendum tersebut, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah sejak awal cuba mendapatkan Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Hakim juga memutuskan dua afidavit Najib sendiri yang menyokong tindakan kebenaran semakan kehakiman hanya mengandungi ‘kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaannya tentang kewujudan perintah tambahan itu’.

“Saya dapati kedua-dua afidavit adalah, pada tahap tertinggi, khabar angin tulen,” hakim mahkamah membuat keputusan sebelum menolak permohonan itu tanpa perintah kos.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan Amarjeet bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Shafee juga berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk memfailkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu, iaitu dalam bentuk writ saman di mahkamah sivil.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili kerajaan persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor bulan April lepas.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Setelah memfailkan petisyen pada 2 Sept 2022, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-BTS Media

Leave a Comment