GAMBAR ATAS: malaymail.com.
BEKAS menteri undang-undang Zaid Ibrahim pada Selasa berkata “keadilan adalah jalan yang panjang”.
Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak untuk membawa bukti baharu bagi rayuan terakhir kes SRC International Sdn Bhd dalam usaha membatalkan perbicaraan yang menyaksikannya disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Sambil melahirkan rasa simpati kepada Najib dan keluarga, Zaid berkata beliau juga berkongsi sentimen yang sama dengan rakan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Najib berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang turut menolak permohonan menangguhkan perbicaraan.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak dua usul Najib, iaitu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terakhir terhadap sabitan kesalahannya dan meminta untuk menangguhkan perbicaraan selama tiga hingga empat bulan lagi.
Dengan itu, rayuan terakhir Najib akan didengar seperti dijadualkan pada 18 Ogos.
“Tetapi keadilan adalah jalan yang panjang. Kadang-kadang, kita boleh mendapatkannya di sini, kita boleh mendapatkannya di tempat lain,” kata Zaid pada sidang media di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Selasa (16 Ogos).
Firma guaman Zaid, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew kini mewakili Najib untuk kes SRC International.
Najib turut bercakap secara ringkas kepada media. Beliau melahirkan rasa kecewa dengan Mahkamah Persekutuan kerana tidak membenarkan permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan berkaitan penemuan terbaharu berhubung dakwaan konflik kepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib, bagaimanapun, tidak mengulas mengenai keputusan mahkamah menolak permohonan pihaknya untuk menangguhkan perbicaraan lagi “tiga hingga empat bulan” atas alasan mereka baharu dilantik.
Hisyam, yang merupakan peguam utama bagi pihak pembelaan, berkata beliau terkejut apabila permohonan yang disifatkan sebagai adil dan munasabah itu ditolak oleh mahkamah.
-BTS Media