GAMBAR: Media Sosial
LEBIH 140 penumpang dan kakitangan pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ321 tiba di Singapura pada hari Rabu, manakala 20 daripadanya masih menjalani rawatan rapi di sebuah hospital di Bangkok, Thailand.
Pesawat Boeing 777-300ER yang malang itu dalam penerbangan dari London ke Singapura, tetapi terpaksa melencong ke Bangkok untuk pendaratan cemas pada hari Selasa dilanda setelah di pergolakan udara (air turbulance) serius.
Kejadian tersebut menyebabkan ramai penumpang dan kakitangan pesawat berkenaan melambung terhempas ke siling kabin.
Menurut pegawai lapangan terbang, seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung.
Hospital Samitivej Bangkok berkata 20 penumpang berada dalam unit rawatan rapi, sembilan telah menjalani pembedahan, manakala lima lagi sedang menunggu giliran mereka.
Reuters memetik seorang penumpang, Josh Silverstone, 24, yang menceritakan bagaimana dia bangun dari lantai pesawat, setelah kepalanya terhantuk kuat kerana dilambung ke bahagian siling pesawat.
Dia melihat ramai penumpang mengalami luka di kepala kerana terhantuk.
Menurut Josh, dia bersama beberapa rakannya sedang dalam penerbangan ke Singapura untuk bercuti sebelum meneruskan perjalanan ke Bali, Indonesia.
Ramai penumpang masih berada di hospital kerana mengalami kecederaan pada tulang belakang.
Susulan kejadian itu, gambar kabin yang menunjukkan bahagian panel siling pecah, dan penumpang dengan kepala berlumuran darah menjadi tular di media sosial.
Penerbangan asal membawa 211 penumpang, termasuk warga Australia, British dan Singapura.
-BTS Media