BTS Media

Guna gambar Agong untuk kempen PRK Kuala Kubu, dua didakwa

DUA individu yang ditahan kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kedua-dua individu yang berusia 66 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

“Pertuduhan terhadap dua individu dibuat selepas kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong  dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Kedua-dua individu terbabit direman tiga hari bermula 5 Mei lepas.

-BTS Media

Leave a Comment