BTS Media

Jururawat didakwa racun dua bayi guna insulin

SEORANG jururawat neonatal sebuah hospital di Britain dituduh membunuh tujuh bayi dan cuba membunuh 10 lagi, selain meracuni dua bayi menggunakan insulin, kata seorang pendakwa raya Britain pada Isnin.

Lucy Letby, 32, didakwa membunuh lima bayi lelaki dan dua perempuan, dan cubaan membunuh lima bayi lelaki dan lima bayi perempuan, ketika bekerja di Hospital Countess of Chester di barat laut England antara 2015 dan 2016, lapor ABCnews.

Letby sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Membuka perbicaraan di Mahkamah Mahkota Manchester, pendakwa raya Nick Johnson berkata bermula pada 2015, hospital itu menyaksikan peningkatan ketara dalam bilangan bayi yang mati atau mengalami “keadaan serius.”

“Keadaan bayi yang tidak stabil tiba-tiba didapati merosot. Kadang-kadang bayi yang pernah sakit, tetapi kemudian sembuh tiba-tiba merosot tanpa sebab yang jelas,” katanya kepada juri.

Beliau berkata apabila doktor gagal menemui punca, polis dipanggil dan menjalankan siasatan yang mendapati bahawa seseorang dalam unit neonatal telah meracuni dua bayi lelaki menggunakan insulin dua hari selepas mereka dilahirkan. Paras gula dalam darah kedua-dua bayi itu jatuh ke paras berbahaya, kata Johnson, tetapi kedua-duanya terselamat selepas bantuan daripada kakitangan perubatan.

Johnson berkata Letby sedang bertugas apabila kedua-duanya diracun. Beliau menambah bahawa pihak pendakwa percaya bahawa keadaan serius dan kematian kesemua 17 bayi adalah hasil kerja Letby, yang disifatkannya sebagai “tindakan jahat yang berterusan” di unit neonatal hospital apabila kanak-kanak itu jatuh sakit atau meninggal dunia.

Bayi pertama yang dikatakan menjadi sasaran Letby ialah kanak-kanak lelaki yang dilahirkan pramatang. Dia dibunuh pada usia sehari pada Jun 2015, kata Johnson.

Pendakwa raya mendakwa Letby menyuntik angin ke dalam aliran darah kanak-kanak itu, dan pakar perubatan berkata kemungkinan punca bayi keadaan bayi menjadi kritikal adalah angin sengaja yang disuntik ke tubuh.

Perbicaraan itu dijangka berlangsung beberapa minggu atau berbulan-bulan.

Polis melancarkan siasatan ke atas kematian beberapa bayi di hospital itu pada Mei 2017. Letby ditahan tiga kali berhubung kematian itu sebelum dia didakwa pada November 2020.

-BTS Media

Leave a Comment