BTS Media

Perak setuju bekal air ke Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Beliau berkata, bekalan akan disediakan dari Sungai Perak, mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai. Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara hari ini.

Menyentuh mengenai cadangan projek lapangan terbang di Kulim, Kedah, Anwar berkata infrastruktur merentas bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan mesti dibincang dengan teliti mengambil kira semua faktor.

Dalam hal itu, Anwar berkata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook baru-baru ini juga bersetuju untuk meneruskan rundingan, namun perlu mengikut proses yang sepatutnya.

Malah, Anwar berkata masalah projek itu yang tergantung susulan pengumuman sebelum ini dilihat kurang diteliti dan tidak mengikut proses sepenuhnya.

“Saya serah kepada kementerian (pengangkutan) dan jawatankuasa teknikal, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Kemudian kalau mereka rasakan patut disegerakan, kita segerakan kerana projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat…tidak ada masalah sama sekali,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment