BTS Media

Pulau Pinang: Penduduk bergegas beli air botol kerana loji rawatan ditutup

 

Oleh Fetty Rara

BERIKUTAN pemberhentian operasi empat jam di Loji Rawatan Air Sungai Dua (WTP) akibat kekeruhan di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Pulau Pinang telah beralih ke Empangan Mengkuang bagi mendapatkan bekalan segera.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa berkata air mentah di empangan itu dilepaskan bagi mengurangkan kekeruhan di terusan Sungai Dua.

Loji rawatan yang membekalkan 85 peratus air kepada pengguna di Pulau Pinang terpaksa ditutup pada kira-kira pukul 11.00 pagi semalam (Rabu 6 Jul) dan dibuka semula pada pukul 3.00 petang setelah tahap kekeruhan air yang disalirkan ke loji tersebut dianggap selamat. Bagaimanapun, operasi kapasiti penuh hanya akan bermula pada tengah hari ini (Khamis 7 Jul).

Penutupan tidak berjadual itu telah menyebabkan kebanyakan pengguna tidak mendapat bekalan air, justeru memaksa beribu penduduk bergegas ke kedai dan pasar raya untuk membeli air botol.

Kedai runcit dan pasar raya dilaporkan sesak dengan orang ramai yang membeli karton air minuman, hingga menyebabkan kesesakan di tempat pembayaran.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau dimaklumkan bahawa paras kekeruhan air mentah dari Sungai Muda didapati terlalu tinggi akibat banjir kilat di Baling, Kedah.

Sehubungan itu, beliau berkata Empangan Mengkuang boleh bertindak sebagai rizab dan menyediakan air mentah bersih apabila berlaku krisis seperti ini.

Penang memperoleh 85 peratus daripada bekalan air mentah dari Sungai Muda, manakala Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang membekalkan kira-kira 15 peratus.

Menurut Chow, air di Empangan Mengkuang boleh bertahan selama kira-kira 100 hari sekiranya tiada bekalan daripada sumber lain.

Sementara itu, PBAPP akan terus memantau tahap kekeruhan air yang disalirkan dari Sungai Muda.

-BTS Media

Leave a Comment