Oleh Yusoff A. Shariff
PENDUDUK Pulau Pinang digesa membantu mengekang paras air di empangan negeri menyusut dengan cara mengurangkan penggunaan air.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berdasarkan data penggunaan air Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk 2022, pengurangan sebanyak 20 peratus akan menjimatkan sebanyak 106.8 juta liter (JLH) sehari.
“Ini satu-satunya pilihan rasional untuk menguruskan baki rizab air mentah empangan untuk bertahan sehingga September 2023,” katanya dalam kenyataan pada Ahad (21 Mei).
Beliau berkata rayuan segera itu dibuat kerana pada masa ini kapasiti berkesan empangan Air Itam berada pada 41.5 peratus pada Jumaat (19 Mei), dan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan data yang menunjukkan kemungkinan berlaku fenomena El Nino panas dan kering mulai sekarang hingga Ogos 2023.
Chow berkata, pada 2022, data PBAPP mendapati rakyat Pulau Pinang menggunakan sebanyak 307 liter air.
Katanya, untuk “lebih selamat” PBAPP meminta kerjasama pengguna air di Air Itam supaya mengurangkan penggunaan air mereka mulai sekarang.
“Pada 2022, penggunaan air domestik menyumbang kira-kira 61.6 peratus daripada jumlah penggunaan air di negeri ini.
“Oleh itu, pengurangan penggunaan domestik akan menjana impak yang lebih besar kepada penjimatan air berbanding pengurangan penggunaan oleh kerajaan dan sektor komersial di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata PBAPP mengenal pasti dua sebab paras rendah di empangan negeri, yang pertama ialah kerana kurang hujan di kawasan tadahan air empangan sejak 1 Jan.
Walaupun operasi pembenihan awan dilakukan sejak Mei 2023, namun paras empangan terus menurun, kata Chow.
Beliau berkata sebab kedua ialah kadar penggunaan tinggi yang mencatatkan rekod baharu penggunaan air, iaitu 868 JLH.
“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, ia lebih tinggi dengan angka penggunaan purata pada 876 JLH,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengarahkan PBAPP supaya mempertahankan rizab empangan Air Itam dan Teluk Bahang tahun ini dengan melaksanakan langkah kejuruteraan bekalan air luar jangka.
Menurut Chow, jika paras empangan mencecah paras rendah yang ditetapkan, PBAPP akan memaklumkan kepada orang ramai melalui pengumuman awam di media massa, media elektronik dan media sosial mengenai langkah-langkah yang perlu walaupun sukar.
Langkah lebih keras, bagaimanapun, boleh dielakkan atau ditangguhkan jika penggunaan air domestik negeri dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus.
Pada Ahad (21 Mei) Empangan Ayer Itam merekodkan kapasiti 44 peratus, manakala Empangan Mengkuang 88.2 peratus.
Empangan Teluk Bahang mencatatkan 47 peratus.
21052023_PBAPP_WWD-2023_PR2A_BM-BTS Media