SALAH seorang pengasas kumpulan Anak Alam, Mustafa Ibrahim, telah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 9.10 malam Jumaat.
Menurut portal SeniMalaya, Allahyarham yang merupakan seorang penyair dan pelukis, dikatakan mengidap penyakit dementia sejak beberapa tahun lalu.
Pemergian Mustafa, yang berusia 78 tahun, telah dikongsikan oleh Tokoh Penyair Kuala Lumpur, Pyanhabib, menerusi laman Facebook semalam.
“Dengan penuh kasih sayang, Allah mengambil sahabat kami, antara abang tua pengasas Anak Alam kami, penyair-pelukis Mustafa Haji Ibrahim. Kami tidak mahu berdukacita, abang kami yang uzur, kami kembalikan kepada Allah dengan gembira.
“Allah memuliakan pemergian abang Tapa di hari Nuzul Quran malam Jumaat 17 Ramadan. Selamat berangkat ya, bang,” tulis Pyanhabib.
Jenazah Allahyarham dijadual akan dikebumikan pada pukul 11 pagi (Jumaat), di Sungai Kantan, Kajang.
Pada bulan Februari lalu, rakan-rakan Allahyarham telah menganjurkan pameran amal di galeri Hom Art Trans untuk mengumpulkan dana.
Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Al-Fatihah.
-BTS Media