Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim,76, meninggal dunia semalam (Isnin31 Julai).
Beliau menghembus nafas terakhir pada 11.08 malam setelah dimasukkan ke Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur pada 23 April lalu kerana masalah jantung.
Atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam untuk penghormatan terakhir dan solat jenazah.
Berita tentang keadaan kesihatan Khalid tersebar sejak minggu lalu setelah dikatakan tidak sihat dan sedang menerima rawatan.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Ijok sebelum dilantik sebagai menteri besar.
Beliau kemudian bertanding untuk kerusi DUN Pelabuhan Klang pada PRU 2013 dan memenangi kerusi itu.
Beliau berkhidmat sebagai menteri besar Selangor selama enam tahun bermula pada 13 Mac 2008.
Pada 9 Ogos 2014, Khalid disingkir daripada PKR sebagai ahli seumur hidup.
Keputusan itu dibuat kerana Mesyuarat Pimpinan Pusat parti mendapati beliau mengingkari arahan untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah yang terpilih pada pilihan raya kecil DUN Kajang.
– BTS Media