BTS Media

Haris Ibrahim, aktivis sosial, peguam meninggal dunia

Oleh Zainal AS Rashid

PEGUAM dan aktivis sosial Haris Ibrahim, 63, meninggal dunia tengah hari tadi di rumah abangnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Menurut The Star, Haris telah berpindah ke rumah abangnya Adam sejurus selepas beliau disahkan menghidap kanser paru-paru.

Kakak iparnya, Firoza Burhan berkata, beliau meninggal dunia dengan tenang.

Firoza berkata Haris berasa sangat letih pagi tadi setelah bangun dari tidur hanya beberapa jam sebelum menghembus nafas terakhir.

Dia berkata, adik iparnya itu sudah lama menerima hakikat bahawa dia sakit tenat dan mempunyai masa yang terhad untuk hidup.

“Dia menerima dengan tabah dan berani serta menjalani semua terapi yang diperlukan,” tambahnya.

Haris disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat bulan April lalu dan diberi tempoh kira-kira enam bulan untuk hidup.

Walaupun sakit, Haris masih mampu mengambil bahagian dengan berkerusi roda dalam “Walk for Judicial Independence” (Berjalan untuk Kebebasan Kehakiman) yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur pada bulan Jun tahun lalu.

Beliau meninggalkan seorang anak lelaki berusia 28 tahun dan seorang anak perempuan berusia 18 tahun.

-BTS Media

Leave a Comment