BTS Media

Sekolah sukan disaman ambil pekerja asing secara haram

JABATAN Imigresen mengeluarkan dua saman kepada wakil sebuah sekolah sukan ternama di Bukit Jalil kerana menggajikan pekerja waga asing secara haram untuk bekerja sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan.

Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Wan Saupee Wan Yusoff berkat saman itu untuk mengambil keterangan lanjut susulan penahanan 15 warga Indonesia yang terdiri daripada 10 wanita dan lima lelaki.

“Semua yang ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.

Seksyen 6(1)(c) melarang orang asing memasuki negara tanpa pas yang sah. Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, serta menerima hingga enam sebatan rotan.

Sementara itu, Seksyen 15(1)(c) merujuk kepada kehadiran yang tidak sah di Malaysia dalam keadaan di mana pas yang dikeluarkan kepada orang asing untuk memasuki negara telah luput tempohnya. Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Dalam operasi berasingan, jabatan itu menahan empat warga tempatan, terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki, yang merupakan pemilik syarikat. Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dalam beberapa dokumen permohonan untuk program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Wan Saupee berkata suspek tersebut dipercayai menggunakan alamat syarikat yang mengelirukan dan memalsukan beberapa dokumen syarikat lain juga.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 dan dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun, serta menerima hingga enam sebatan rotan.

Beliau berkata semua majikan yang membuat sebarang jenis permohonan hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan semua dokumen yang dikemukakan adalah sah dan dikeluarkan oleh pihak yang betul, dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

Beliau juga menasihati semua majikan yang telah mendaftarkan pekerja asing tanpa dokumen untuk program RTK 2.0 untuk melengkapkan proses pengesahan untuk memastikan permit sementara dikeluarkan dengan segera.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/16/sekolah-sukan-disaman-gaji-pekerja-asing-secara-haram/

Leave a Comment