Oleh Yusoff A. Shariff
YURAN proses rekalibrasi sebanyak RM1,500 untuk pengambilan semula pekerja asing dikekalkan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.
Beliau berkata tiada sebab untuk bayaran itu dikurangkan atau dimansuhkan.
“Kita akan meneruskan program rekalibrasi yang diterajui Jabatan Imigresen kerana kita perlu memudahkan permintaan pekerja dalam sektor ekonomi.
Beliau memberitahu media di Putrajaya hari ini bahawa tiada perubahan pada jumlah bayaran tersebut.
Saifuddin berkata program rekalibrasi itu mencatatkan lebih RM700 juta hasil untuk kerajaan tahun lepas.
“Adalah lebih murah untuk majikan menggunakan program ini dalam mengambil semula pekerja asing daripada membayar agensi untuk pekerja baharu,” katanya.
Beliau juga berkata, sehingga 22 Jan lepas, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 1,484,677 pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS).
“Lima negara sumber utama ialah Bangladesh dengan 446,299 pekerja, diikuti Indonesia (399,827), Nepal (285,768), Myanmar (135,590) dan India (81,002),” katanya.
-BTS Media