BTS Media

Kelonggaran bersyarat PLKS pekerja asing perikanan

GAMBAR ATAS: ATSB, photo by ABIS Chris Beerens, RAN, CC BY 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/4.0>, via Wikimedia Commons

 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan pemberian kelonggaran bersyarat kepada pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing yang bekerja di atas kapal tempatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bagi membantu agenda pemulihan semula industri perikanan negara dalam fasa endemik.

“Kelonggaran bersyarat ini meliputi pengecualian khas PLKS hanya bagi pekerja yang telah memohon PLKS.

“(Ini termasuk) mempunyai resit pengesahan bahawa permohonannya sedang diproses oleh Jabatan Imigresen. Pengecualian ini berkuat kuasa sehingga 31 Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan semalam (Isnin 25 April).

Hamzah, yang juga setiausaha agung Bersatu berkata, KDN sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Persatuan Pusat Perusahaan-Perusahaan Ikan Malaysia (Malaysia Fish Industries General Association).

Menurutnya, pertemuan tersebut bagi membincangkan isu keselamatan dan imigresen yang dihadapi pengusaha-pengusaha ikan di Malaysia melibatkan penggajian pekerja asing dalam subsektor perikanan.

Jelas Hamzah, pemberian kelonggaran bersyarat itu juga bagi membolehkan majikan melengkapkan permohonan PLKS untuk semua pekerja asing yang digajikan mereka.

Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa sebarang kompromi mulai 1 November depan.

“Sekiranya didapati masih ada majikan dalam subsektor perikanan yang masih ingkar, pihak majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan akta-akta lain yang berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua individu yang masuk dan berada di Malaysia mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menepati undang-undang keimigresenan yang berkuat kuasa,” katanya.

Baca lagi: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/kelonggaran-bersyarat-plks-pekerja-asing-perikanan/

 

Leave a Comment