GEORGE TOWN: Saluran paip sementara akan dipasang di sepanjang tebing Sungai Perai yang memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk siap, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Saluran paip itu untuk melencong air dari paip lama di dasar sungai yang pecah dua kali dan tidak boleh dibaiki lagi.
Chow berkata kebocoran masih berlaku dari paip pecah itu, tetapi pada tahap tekanan lebih rendah.
Paip itu membekalkan air ke kawasan utama di selatan pulau, lokasi terletaknya hab teknologi negeri, serta bahagian bawah Seberang Perai.
Kebocoran itu berlaku ketika gangguan bekalan air berjadual selama empat hari untuk membaiki injap utama di loji rawatan air Butterworth, yang membekalkan air kepada 80% kawasan negeri itu, selain pembaikan kepada 22 kawasan lain.
Chow berkata, paip dasar sungai itu dipasang kira-kira tiga dekad lalu dan bahagian lain paip terbabit pecah baru-baru ini, bukannya di bahagian yang dibaiki sebelum ini.
“Keadaan masih rumit. Di sini kami melakukan pembaikan utama, sementara kita ada kebocoran di belah sana,” katanya dalam sidang media di Bukit Bendera hari ini.
Beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memohon kebenaran Jabatan Kerja Raya untuk memasang dua paip sementara sepanjang 500m di Jambatan Ampang Jajar, di atas Sungai Perai, di mana kapasitinya lebih besar daripada paip di dasar sungai.
Katanya proses itu mengambil masa sehingga 30 hari kerana perlu mematuhi prosedur kerajaan dan menempah alat ganti.
Dalam perkembangan lain, Chow menyambut baik tawaran Putrajaya memperuntukkan lebih banyak dana bagi membantu kerja pembaikan.
Bekalan air pulih 84%
PBAPP berkata bekalan air pulih sepenuhnya buat pengguna di kawasan fasa kedua pelan pemulihan setakat 6 pagi tadi.
Katanya fasa kedua membabitkan 495,065 pengguna atau 84% daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan Pulau Pinang.
“PBAPP berusaha memulihkan bekalan air kepada 99.5% daripada 590,000 pengguna, mulai 6 pagi tadi, dengan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke Pulau Pinang.
“PBAPP juga memfokuskan pemulihan bekalan air di daerah barat daya, terutama di kawasan agihan paip berakhir, dan kawasan tinggi, yang dijangka siap 6 pagi esok,” katanya dalam kenyataan.