BTS Media

Tak perlu takut gerakan Melayu baharu, kata Tun Mahathir

https://youtu.be/16jSvxbEc-g

 

Oleh Yusoff A. Shariff

TUN Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada bukan Melayu bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) tidak menimbulkan ancaman kepada mereka.

Beliau yang merupakan pengerusi pergerakan itu, berkata bukan Melayu tidak perlu bimbang walaupun GTA terhad kepada parti Melayu, NGO dan individu.

Mahathir menegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti kerana kerajaan pimpinan Melayu adalah untuk kebaikan semua, walaupun penyertaan GTA hanya untuk orang Melayu.

Beliau yang berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Parti Barisan Jemaah islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menambah bahawa tujuan GTA itu murni dan boleh diterima oleh semua tanpa mengira kaum.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tujuan utama gabungan itu adalah untuk menentang UMNO pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang dan memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Mahathir juga berkata pergerakan itu hanya akan menamakan calon perdana menterinya selepas ia menang dalam pilihan raya umum (PRU15) akan datang, sambil menambah bahawa mengumumkan “budak poster” lebih awal adalah “tidak bermakna” jika mereka kalah.

“Kita fokus kepada satu matlamat, iaitu membentuk kerajaan yang baik, kuat, bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

GTA diumumkan oleh beliau pada 4 Ogos. Gabungan itu terdiri daripada parti Melayu, NGO, ahli akademik, dan profesional.

Buat masa ini, GTA dianggotai oleh Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman).

Bekas perdana menteri itu berkata tumpuan akan diberikan kepada kemenangan di kawasan majoriti Melayu, menyasarkan 120 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

-BTS Media

Leave a Comment