BTS Media

Amaran ‘sesiapa mempunyai IC, poskod anda’ boleh daftar akaun PADU tanpa pengetahuan anda

Oleh Zainal AS Rashid

MANTAN timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Ong Kian Ming,  menggesa rakyat Malaysia supaya mendaftar akaun Padu mereka d segera kerana kebimbangan keselamatan siber.

Beliau menasihatkan supaya mendaftar akaun PADU masing-masing di http://padu.gov.my segera. Jika tidak, sesiapa pun boleh menggunakan nombor kad pengenalan dan poskod yang tertera pada alamat kad pengenalan pemilik untuk mendaftar bagi pihaknya kerana pendaftaran dilakukan sebelum kelulusan eKYC yang mengambil masa 3 hari.

“Jika ini berlaku adalah sukar untuk mendapatkan semula akaun tersebut” kata Ong melalui postnya di X (Twitter).

Untuk mendaftar akaun Padu, orang ramai perlu menyatakan nama penuh, nombor MyKad dan poskod yang sepadan. Mereka juga perlu menyatakan nombor telefon bimbit yang sah untuk menerima OTP (kod laluan sekali pakai), lapor The Star.

Proses ini juga memerlukan pengguna melengkapkan langkah eKYC untuk mengesahkan akaun mereka. Bagaimanapun, berdasarkan semakan, The Star mendapati pengguna boleh mengabaikan keperluan syarat eKYC dan akaun akan disahkan mengikut nombor MyKad individu.

Juga didapati bahawa pengguna boleh menerima OTP melalui mana-mana nombor telefon yang dinyatakan di dalam borang.

Dalam post susulan, Ong yang juga bekas ahli parlimen Bangi, menambah: “Padu menghantar OTP anda dengan segera selepas pendaftaran bukanlah masalah di sini. Mana-mana individu yang mempunyai akses kepada senarai pengundi (contohnya) atau mana-mana pangkalan data dengan nama, nombor kad pengenalan dan alamat, boleh memasukkan nombor telefon sesiapa sahaja untuk OTP dihantar dan mendaftar banyak akaun PADU.”

Laman web tersebut kemudian akan menghalang seseorang daripada membuat akaun baharu berdasarkan nombor IC yang telah didaftarkan.

Beberapa pengguna ‘X’ meminta Menteri Kewangan Rafizi Ramli menyiasat masalah ini kerana kementerian adalah peneraju inisiatif tersebut.

Padu dilancarkan hari ini untuk orang ramai mengemas kini butiran peribadi dan seterusnya mendapat akses kepada subsidi bersasar kerajaan.

Rakyat Malaysia diberikan tempoh sehingga 31 Mac untuk mendaftar.

-BTS Media

1 comment

Mohamad afin amdullah March 30, 2024 at 2:06 pm

Padu

Reply

Leave a Comment