Bagi penduduk Selangor yang mempunyai nombor kad pengenalan berkod negeri itu dan/atau yang bermastautin di Selangor dan/atau pengundi di dalam negeri Selangor, nombor kad pengenalan anda mungkin telah digunakan oleh kerajaan negeri untuk didaftarkan di bawah insurans kelompok melalui program INSAN.
Sebenarnya program INSAN ini telah diumumkan dalam bulan Oktober 2022 lalu. Cuma tahun ini sahaja telah ditambah baik dengan menyertakan Takaful bersama-sama Insurans konvensional.
Ia dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor sendiri di Stadium Sultan Suleiman, Klang. Pada ketika itu, diumumkan yang 6 juta penduduk Selangor dan pengundi berdaftar akan dilindungi di bawah Insurans Am Insan yang ditaja oleh pihak kerajaan negeri.
Selain daripada itu, pihak kerajaan juga menyatakan yang pendaftaran telah dibuka melalui APP e-Wallet Wavpay yang boleh dimuat turun menerusi App Store, Google Play Store, dan AppGallery.
Namun, di sinilah sesuatu yang pelik berlaku. Ada pengguna mendapati yang adanya polisi insurans di atas nama mereka yang berkuat kuasa bermula 16 November 2022 walaupun tidak melakukan pendaftaran.
Bagaimanakah pengguna itu ingin lakukan pendaftaran kalau dia sendiri pun tidak mempunyai akaun e-Wallet Wavpay?
Sekiranya dakwaan itu benar, bagaimanakah seseorang yang tiada akaun Wavpay, yang tiada saluran untuk lakukan pendaftaran, dan yang tiada kaedah untuk lakukan pengesahan dengan gambar tetap mempunyai polisi yang aktif sejak 16 November 2022?
Pihak yang mengendalikan inisiatif Insan juga dilihat agak meragukan. Dalam bulan Julai 2022 lalu, wakil DUN Gombak Setia, Hilman Idham mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menyuntik dana tunai sebanyak RM200,000 kepada WavPay System Sdn. Bhd. sedangkan syarikat tersebut tiada sebarang aset dan aliran wang masuk. Lebih memelikkan, Menteri Besar Selangor Diperbadankan sanggup membayar RM10 juta untuk 49% ekuiti dalam WavPay yang dilihat tidak sepadan dengan nilaian sebenar.
-Soya Cincau