Oleh Zainal AS Rashid
SAMA ada anda bekerja sendiri atau bekerja untuk majikan, keletihan yang dirasakan pada penghujung minggu bekerja adalah nyata.
Dengan keadaan banyak bekerja lebih masa dan asyik “sibuk” memanjang maka tidak menghairankan didapati semakin ramai orang mengakui mengalami gangguan saraf disebabkan oleh kerja.
Tetapi, bagaimana jika anda boleh mengurangkan sedikit waktu bekerja, tetapi masih mampu meningkatkan produktiviti?
Menurut kajian saintifik ia mungkin, dan terdapat bukti nyata untuk menyokong idea ini.
Emosi tertekan dan tidak bermotivasi adalah tanda biasa keletihan di tempat kerja, tetapi sekarang mungkin ada penyelesaiannya.
Jika anda berangan-angan untuk mengurangkan waktu dan hari bekerja, tapi masih dibayar kadar gaji yang sama, kajian bekerja empat hari seminggu yang pernah dijalankan oleh penyelidik kini membuktikan bahawa ia mungkin apabila tinjauan membabitkan hampir 1,000 pekerja menunjukkan bahawa mereka masih mampu menerima 100 peratus gaji walaupun bekerja hanya meluangkan 80 peratus masa bekerja.
Kajian selama enam bulan itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Cambridge University, Boston College, dan Oxford University, lapor theconversation.com.
Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian melaporkan peningkatan kesihatan mental, produktiviti dan tahap keceriaan semua pekerja yang bekerja hanya empat hari seminggu (32 jam) untuk keseluruhan tempoh percubaan.
Satu-satunya keperluan adalah untuk terus memastikan pekerja berusaha 100 peratus. Hasilnya didapati berjaya. Mungkin anda ingat adalah keterlaluan untuk melakukan kadar kerja yang sama dalam masa lebih singkat, tetapi tanggapan tradisional itu nyata terbukti tidak benar.
Menurut kajian itu, mengurangkan waktu bekerja mampu meningkatkan produktiviti kerana kurangnya pelbagai gangguan, dan membawa kepada tumpuan yang lebih tajam. Malah, ramai pekerja di seluruh dunia mengakui bahawa mereka mampu menyelesaikan tugas sebelum tamat hari bekerja.
-BTS Media