ELON Musk mengaku bahawa beliau terlalu banyak bekerja.
“Saya melakukan terlalu banyak kerja di satu masa,” kata Musk pada 14 Nov ketika menjawab soalan semasa sesi persidangan perniagaan B20 yang berlangsung seiring persidangan dan mesyuarat G20 di Bali minggu ini di Indonesia.
“Saya melakukan sebanyak mungkin kerja dari pagi hingga malam, tujuh hari seminggu.”
Musk yang menggunakan ‘handle’ “Chief Twit” sebagai bos baharu Twitter Inc itu mengambil bahagian dalam persidangan tersebut secara maya berkata di kala beliau melaksanakan pendekatan pengurusan baharu di syarikat itu, dengan memberhentikan hampir 3,700 pekerjanya seminggu lalu.
Beliau, bagaimana pun, telah menarik balik beberapa pemecatan itu, tetapi mengekalkan keputusan untuk membatalkan dasar kerja dari rumah di Twitter Inc.
Pendirian Musk untuk menolak dasar kerja dari rumah mempunyai kaitan dengan perangai beliau yang “workaholic” hinggakan tidur di pejabat dan di lantai kilang.
Tabiat kerja luar biasa Musk menjadi topik utama semasa perbincangan di B20.
Suasana perbincangan itu menjadi lebih ‘surreal’ dengan latar belakang set yang menyerlahkan susuk tubuh individu paling kaya di dunia itu berbaju batik Indonesia dihantar oleh pihak penganjur persidangan sebelum itu. Dari lokasi mana beliau menampilkan diri secara maya tidak diketahui.
Musk buat masa ini memiliki syarikat Twitter, Tesla dan SpaceX. Beliau juga mengasaskan syarikat terowong The Boring Co dan firma teknologi ‘manusia-ke-komputer’ Neuralink Corp.
-BTS Media