POLIS tidak boleh menghalang seseorang membuat laporan hanya kerana cara berpakaian pengadu, kata bekas ketua polis negara.
Musa Hassan berkata, polis tidak sepatutnya “menghalau” orang awam membuat laporan kerana sudah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa membantu.
“Jika ia kecemasan, tak kiralah apa yang wanita itu pakai. Dia menjadi mangsa jenayah, jadi polis kena benarkan dia buat laporan,” katanya kepada FMT.
Musa merujuk kepada insiden baru-baru ini, di mana seorang wanita berhasrat membuat laporan polis susulan terlibat dalam kemalangan kereta, namun dihalang masuk ke Balai Polis Kajang kerana cara berpakaiannya.
Wanita itu mendakwa mengenakan seluar Bermuda menutup lututnya. Bagaimanapun, polis Kajang menegaskan seluar dipakainya di atas paras lutut.
Musa berkata, mana-mana anggota menghalang sesiapa sahaja membuat laporan sudah melakukan kesalahan disiplin.
“Rakyat boleh melaporkan (perkara itu) kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk tindakan diambil terhadap anggota terlibat.”
Beliau menambah, Bukit Aman sepatutnya mengeluarkan arahan kepada semua balai polis membenarkan sesiapa sahaja membuat laporan tanpa mengambil kira pemakaian.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Program All Women’s Action Society, Lilian Kok, mengambil maklum kenyataan Azalina Othman Said ketika menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang menjelaskan pada 2015, tiada etika pakaian dikenakan kepada orang awam ketika berurusan dengan jabatan kerajaan dan agensinya.
Bagaimanapun, Kok berkata, ia sepatutnya diperjelaskan kepada semua penjawat awam sekali lagi menerusi pekeliling atau taklimat, sambil menambah jabatan kerajaan dan agensinya perlu menyampaikan perkhidmatan berkualiti, bukannya menghukum orang awam berpakaian.
“Pentadbiran hospital dan balai polis mesti jelas hal ini dengan pegawai mereka mengenai tanggungjawab berurusan ketika kecemasan,” katanya.
Katanya, etika pakaian merupakan garis panduan dan bukannya undang-undang, justeru khidmat tidak boleh dinafikan berdasarkan pemakaian.