SEOUL: Agensi meteorologi Korea Selatan berkata, paras laut di beberapa bahagian wilayah Gangwon di pantai timur meningkat selepas gempa bumi dengan magnitud awal 7.6 melanda utara tengah Jepun dan mengeluarkan nasihat supaya berhati-hati.
Ia berkata, ombak tsunami sehingga 0.3m boleh sampai ke pantai timur Korea Selatan antara jam 6:29 petang hingga 7:17 petang waktu tempatan.
Wilayah Gangwon memberitahu penduduk dalam mesej teks kecemasan supaya menjauhkan diri dari pantai dan berpindah ke tempat yang lebih tinggi.
Bandar Samcheok menasihatkan penduduk supaya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi daripada bangunan tiga tingkat, kata Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.
Korea Utara turut mengeluarkan amaran tsunami untuk pantai timurnya selepas gempa bumi besar melanda utara tengah Jepun hari ini, mengatakan ombak sehingga 2.08 meter boleh sampai ke pantainya.
Sementara itu, sebahagian pantai barat pulau Sakhalin dan wilayah Primorsk dan tanah besar Khabarovsk di Russia yang terletak berhampiran Jepun turut berada di bawah ancaman tsunami.
Media Russia memetik pihak berkuasa di bandar pelabuhan wilayah Primorsk, Vladivostok sebagai berkata bahawa sesiapa yang belayar di perairan tempatan harus “segera kembali ke pantai”.
TASS memetik pihak berkuasa di wilayah Sakhalin dan Khabarovsk sebagai berkata, bahawa gelombang itu tidak akan mengancam nyawa.
Dalam pada itu, Kementerian Kecemasan Russia menafikan laporan awal bahawa pemindahan penduduk kawasan berisiko di Sakhalin sedang dijalankan.