Seorang penunggang motosikal menyatakan rasa kecewanya melalui media sosial berikutan penutupan awal jalan di Jambatan Pulau Pinang sempena Larian Polis 2023 baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuatnaik oleh ManShariffBhai di TikTok, penunggang motosikal itu mendakwa dia mencuba untuk pulang ke rumah sebelum penutupan jalan yang dijadualkan pada 12 pagi, tetapi mendapati jalan ditutup pada pukul 11.30 malam.
Lelaki itu mendakwa walaupun diumumkan bahawa jalan akan ditutup pada tengah malam, tetapi pihak berkuasa memilih untuk menutup jalan itu lebih awal hingga menyebabkan kesulitan kepada orang ramai.
Notis penutupan jalan di Jambatan Pulau Pinang menyatakan bahawa ia bermula pada pukul 12 pagi, tetapi apabila dia cuba menggunakan laluan itu pada pukul 11.30 malam, jalan sudah pun ditutup. Begitu juga dengan Jalan Simpang Gelugor ke jalan USM, jalan ke arah bulatan, dan Jalan Batu Uban – semuanya ditutup lebih awal daripada dijadualkan.
Apabila ditanya anggota polis yang bertugas, dia diberitahu bahawa itu adalah arahan daripada pegawai atasannya.
Kemudian apabila lelaki itu bertanya pegawai atasan, dia menerima jawapan yang sama.
Lelaki itu mendakwa penutupan tidak ikut waktu ditetapkan menyebabkan ramai pengguna jalan raya mengalami kesulitan.
Dia turut merakam video kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah, yang didakwa berpunca daripada keputusan menutup jalan raya berkenaan tidak mengikut masa.
– BTS Media