BTS Media

Pulau Redang berbau busuk kerana sampah tidak dikutip

GAMBAR: Bernama.

 

KUALA NERUS: Masalah sampah yang serius dan membusuk kerana sistem kutipan yang tidak cekap menghantui penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, sejak setahun lalu.

Penduduk mendakwa masalah sama pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tetapi diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan, selepas aduan kepada pihak berkaitan dikemuka.

Seorang penduduk, Johasman Husin, 44, berkata masalah yang berlarutan selama setahun itu memberi tekanan kepada penduduk kampung kerana terpaksa menghidu bau busuk sampah yang ‘menggunung’ setiap hari.

Johasman berkata, masalah timbul apabila kontraktor yang menguruskan pembersihan hanya mengambil separuh daripada sampah yang ada untuk dilupuskan, manakala separuh lagi gagal diuruskan sehingga menyebabkan longgokan dalam jangka masa panjang.

“Semua sampah yang dibawa ke pusat pengumpulan di Kampung Baru bukan sahaja datang daripada penduduk di sini, tetapi semua resort dan chalet yang ada di Pulau Redang.

“Setiap hari dianggarkan 3,000 tan sampah dibawa ke sini, tetapi hanya separuh yang diambil untuk dilupuskan. Sudah tentulah lama-kelamaan sampah itu akan menimbun dan membusuk,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Pulau Redang semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Jaafar, 68, berkata masalah terbabit jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan imej Pulau Redang sebagai pusat pelancongan terkenal di negara ini.

Menurutnya, walaupun kedudukan Kampung Baru terpisah daripada kawasan chalet dan resort, mereka tetap menerima kunjungan pelancong asing yang ingin menikmati pemandangan kampung nelayan dan budaya masyarakat di situ.

“Kampung Baru ialah sebahagian daripada Pulau Redang. Saya pasti pihak kerajaan tidak mahu masalah sebegini menjejaskan reputasi Pulau Redang sebagai lokasi pelancongan yang berprestij.

“Ramai pengusaha kedai makan di sini terjejas kerana bau busuk yang meloyakan ‘membunuh’ selera pelanggan,” katanya.

Penduduk kampung merayu supaya pihak kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk.

– BERNAMA

Leave a Comment