PEMUDA MCA berkata rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menepati janji untuk mengecilkan saiz kabinet.
Dalam kenyataan hari ini, timbalan pengerusi Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan menekankan bahawa perpecahan kementerian, seperti Komunikasi Digital dan Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, bercanggah dengan komitmen sebelum ini untuk mengekalkan saiz kabinet yang lebih kecil, seperti yang dijanjikan.
“Apa pun, dalam rombakan kabinet terbaharu ini, kementerian tertentu seperti Kementerian Komunikasi Digital dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah dipecahkan kepada dua.
“Ini mencacatkan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Rakyat kecewa kerana kementerian tambahan juga melanggar janji Pakatan Harapan untuk mengecilkan saiz Kabinet.
Chong yang sebelum ini telah membangkitkan kebimbangan mengenai prestasi menteri tertentu, menggesa Perdana Menteri mempertimbangkan penyingkiran mereka.
“Sebelum ini, saya telah mencadangkan beberapa menteri yang prestasi mereka tidak mencapai standard disingkirkan. Ini bukan bertujuan untuk mengaibkan menteri-menteri tersebut, tetapi untuk meminta Perdana Menteri mempertimbangkan secara serius penyingkiran menteri yang kurang berprestasi.
Chong berkata, oleh kerana beberapa menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini berprestasi rendah masih kekal memegang jawatan, beliau berharap mereka akan memperbaiki prestasi masing-masing.
Semalam, timbalan presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan pendapat yang sama, dengan mengatakan bahawa janji-janji Perdana Menteri untuk mengurangkan saiz kabinet dan perbelanjaan apabila beliau mengambil alih kerajaan tahun lepas, hanya retorik kosong.
-BTS Media