Oleh Zainal AS Rashid
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa perubahan dalam barisan kabinetnya.
Beliau berkata keputusan dibuat selepas berbincang dengan pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan.
“Angkat sumpah hari ini hanya akan melibatkan menteri dan timbalan menteri baharu.
“Jika (kabinet) menunjukkan prestasi baik dan tiada ancaman luar, saya tidak nampak keperluan untuk membuat sebarang perubahan lagi (dalam barisan) untuk empat tahun akan datang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, lapor NST.
Antara muka baharu ialah Senator Amir Hamzah sebagai menteri kewangan kedua dan Dr Zulkifli Hasan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Amir, yang merupakan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Zulkifli, dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia pada awal pagi ini mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara.
Rombakan kabinet berlaku selepas beberapa bulan spekulasi mengenai pentadbiran Anwar, dengan jawatan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong setelah Salahuddin Ayub meninggal dunia pada bulan Julai. Timbalannya Armizan Mohd Ali kemudiannya dilantik sebagai pemangku menteri.
-BTS Media