BTS Media

GPS mahu dikekalkan empat jawatan menteri dalam Kabinet baharu

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mahu mengekalkan empat jawatan menteri dalam Kabinet persekutuan baharu, sama seperti semasa pentadbiran terdahulu, kata Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kemungkinan besar, kita akan kekalkan bilangan sebelum ini. Kita minta kekalkan, tetapi terpulang kepada Perdana Menteri,” kata premier Sarawak itu kepada media selepas Dewan Undangan negeri menangguhkan persidangan pada Khamis (1 Dis).

Bagaimanapun, beliau belum mendengar apa-apa mengenai pelantikan Kabinet dan tidak tahu bila barisan itu akan diumumkan.

Abang Johari berkata demikian di tengah-tengah pelbagai spekulasi mengenai pembentukan Kabinet baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan barisan anggota Kabinet tidak lama lagi.

Di bawah pentadbiran sebelum ini, empat anggota Kabinet GPS ialah Menteri Kanan (Kerja) Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Fadillah, Nanta dan Nancy dipilih semula pada Pilihan Raya Umum ke-15, manakala Wan Junaidi tidak bertanding.

-BTS Media

Leave a Comment