KEMENANGAN Ahmad Samsuri Mokhtar semalam dalam pilihan raya kecil parlimen Kemaman dengan majoriti begitu besar, iaitu 37,220 undi, adalah bukti momentum bersama pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan dengan sokongan lebih 70 peratus pengundi bukan sahaja membuktikan penerimaan jawatan beliau (Samsuri) sebagai menteri besar Terengganu, malah mengesahkan momentum sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam siri pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum ke-15.
“Ini termasuk PRK Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai, serta PRK Simpang Jeram dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Ahad.
Takiyuddin seterusnya menyifatkan apa yang jelas berlaku itu mencerminkan penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-BN yang dipimpinnya.
“Jelas kerajaan pusat terus gagal mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat walaupun sudah setahun memerintah.
Beliau berkata, dalam konteks PRK Kemaman jumlah undi yang diperoleh calon PH-BN, iaitu 27,778 atau 30 peratus sokongan, adalah jauh lebih rendah berbanding undi yang diperoleh kedua-dua Pakatan Harapan dan BN pada PRU15 lalu, dengan masing-masing 8,340 dan 38,535 undi, mewakili 41 peratus sokongan.
“Dalam erti kata lain, gabungan Pakatan Harapan-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu malah terus kehilangan sokongan sebelum ini di Kemaman,” katanya.
Takiyuddin berkata, “Selain kecelaruan pentadbiran, PAS percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga merupakan penolakan pengundi terhadap “politik dana peruntukan” serta helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli Ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokongnya.”
“PAS tetap komited kepada politik matang, bermaruah, dan demokratik, bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai pentadbiran di negeri yang ditadbirnya,” katanya.
Dalam pada itu, PAS juga bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan memerlukan, tambahnya.
-BTS Media