BTS Media

Keputusan pilihan raya Tioman, Padang Serai bukti rakyat tidak percaya pakatan BN-PH, kata Muhyiddin

Oleh Fetty Rara

PRESTASI Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya Padang Serai dan Tioman adalah bukti rakyat tidak bersetuju dengan pakatan Pakatan Harapan-Barisan Nasional, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata kemenangan besar gabungannya dalam pilihan raya parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis dalam pilihan raya DUN Tioman adalah petanda positif sokongan padu rakyat terhadap PN.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi itu masing-masing dimenangi PH dan BN.

Dalam pilihan raya semalam, PN meluaskan penguasaannya di Kedah apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti 16,260 undi.

BN melalui Johari Hussain mengekalkan kerusi DUN Tioman dengan hanya 573 undi mengatasi calon PN Nor Idayu Hashim.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih PN.

“Keputusan kedua-dua pilihan raya ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.

“Majoriti BN di Tioman menyusut hampir separuh dan PN memperoleh dua kali ganda majoriti yang dimenangi PH semasa PRU14 di Padang Serai.

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai pakatan PH-BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan perpaduan yang diketuai PH untuk memimpin negara,” katanya dalam catatan Facebook.

Menurut Muhyiddin, rakyat yang kecewa dengan pembohongan pemimpin PH dan BN semasa berkempen untuk PRU15, telah menukar undi mereka kepada PN.

Beliau menambah bahawa baginya pembohongan itu adalah “penipuan pilihan raya terbesar” dan keputusan pengundian Padang Serai dan Tioman adalah “petanda jelas” bahawa orang ramai tidak merestui tindakan PH dan BN.

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada ahli Parlimen Padang Serai PN Datuk Azman Nasrudin, dan menasihati calon Tioman mereka Nor Idayu untuk meneruskan perjuangannya dengan PN.

“Kami berada di landasan yang betul,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment