BTS Media

Empat Ahli Parlimen Bersatu tersepit setelah nyata sokongan kepada Anwar

GAMBAR: Malay Mail.

 

KELEMAHAN yang membolehkan empat ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan kerusi mereka walaupun secara teknikalnya telah berpaling tadah juga boleh mengehadkan peluang mereka seterusnya, kata penganalisis politik kepada Malay Mail.

Secara teknikal empat ahli parlimen itu perlu kekal dalam Bersatu hingga akhir penggal agar tidak mencetuskan undang-undang anti-lompat, walaupun telah dipulaukan secara berkesan kerana tindakan belot mereka.

“Buat masa ini, nampaknya mereka bersedia untuk kekal dalam parti tanpa sebarang tindakan selanjutnya daripada mana-mana pihak.

“Jika parti (Bersatu) pecat, mereka boleh mengekalkan kerusi. Bagaimana pun, ini tidak mungkin.

“Saya lihat buat masa ini mereka akan kekal dalam Bersatu sehingga pilihan raya akan datang,” kata penolong profesor sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Shukri.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata keadaan sekarang jelas buntu kerana keempat-empat mereka tidak mahu meletak jawatan dan kehilangan kerusi, manakala Bersatu juga tidak mahu memecat mereka dan memberi mereka pas percuma untuk menyertai parti kerajaan.

Di bawah pindaan perlembagaan untuk mengekang tindakan lompat parti, ahli parlimen tidak akan hilang kelayakan daripada memegang kerusi sekiranya dipecat daripada parti politik yang pernah disertai ketika dipilih.

Walaupun sesetengah parti, seperti DAP menutup kelemahan ini dengan meminda perlembagaan parti, Bersatu tidak melakukannya. Ini dengan berkesan membolehkan empat pembelot itu mengekalkan kerusi mereka selagi mereka secara rasmi kekal sebagai ahli parti.

“Bagi saya adalah jelas bahawa kawasan pilihan raya pembelot berkenaan mempunyai potensi besar untuk kalah kepada Umno sekarang sekiranya pilihan raya kecil berlaku kerana kepercayaan pengundi semakin pudar akibat tindakan mereka sendiri,” kata Awang Azman.

Beliau berkata mereka mungkin akan bergelut untuk kekal dalam parti dan relevan sebagai wakil rakyat tanpa kerjasama parti, susulan tindakan mereka.

“Nama mereka sudah tercalar. Pada masa ini Umno pun tidak akan ambil mereka jika ada peluang,” katanya.

Empat ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Kadir, Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kecik.

Mereka yang mendakwa berbuat demikian kononnya demi kepentingan pengundi kawasan, turut menafikan bahawa mereka telah dipujuk atau dipaksa untuk mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri.

Mereka kekal sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional walaupun Suhaili dan Iskandar Dzulkarnain masing-masing telah digantung daripada Bersatu selama enam dan empat tahun.

Syaza berkata daripada empat mereka, yang paling berkemungkinan mendapat pelawaan menyertai Umno ialah Ahli Parlimen Labuan Suhaili, yang sebelum ini memegang kerusi untuk parti tersebut dari 1999 hingga 2008.

Beliau berkata ini adalah kerana ketidakstabilan politik di Sabah, dan kedudukan Labuan yang hampir dengan tanah besar (Sabah).

“Bagi yang lain, saya rasa mereka boleh menyertai PH, atau kemungkinan besar PKR. Tetapi ini adalah andaian semata-mata kerana terdapat begitu banyak ketidaktentuan buat masa ini,” katanya.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah juga berkata saiz Labuan kecil dan dengan hanya segelintir ahli politik yang masih mampu dipengaruhi Suhaili untuk meminimumkan kesan pembelotan itu.

Bagi baki tiga lagi, Ationg menyatakan keraguan mereka mempunyai banyak pilihan.

Mereka tidak mungkin dipilih sebagai calon oleh Umno atau mana-mana parti Pakatan Harapan, apatah lagi untuk menang walaupun mereka dicalonkan.

Untuk bertanding semula adalah sukar, tetapi hanya untuk ‘kembali’ kepada Umno, mungkin ada kemungkinan, terutama dengan sokongan kepimpinan.

“Sejujurnya, mereka sendiri yang meletakkan diri dalam keadaan begitu apabila bertindak melawan parti. Tetapi sekurang-kurangnya dengan Umno atau PKR mereka akan kelihatan seperti ‘wira kecil’ kerana berani mempertahankan kawasan. Ini naratif yang boleh mereka mainkan,” kata Syaza.

Tetapi, Syaza berkata kemungkinan keempat-empat mereka menjadi “orang buangan” dalam Bersatu bukanlah isu besar kerana kepimpinan kini dalam keadaan rapuh.

“Saya rasa mereka hanya akan berada dalam keadaan tak menentu sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Ationg berkata ia bergantung kepada prestasi mereka di lapangan, dan sama ada mereka mampu memenangi hati pengundi akan menentukan sama ada kepimpinan masih berminat untuk menyokong mereka.

“Walau bagaimanapun, secara amnya, rakyat mungkin berasa tidak senang dengan langkah mereka, terutamanya pengundi muda. Jika ini berlaku, keempat mereka mungkin perlu bekerja keras untuk memenangi semula kerusi masing-masing, atau bagi mendapatkan peluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment