BTS Media

SPRM digesa perluas siasatan dakwaan rasuah empat Ahli Parlimen Bersatu

Oleh Yusoff A. Shariff

EMPAT Ahli Parlimen Bersatu yang beralih pendirian untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mereka bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimana pun, seorang pemimpin Bersatu berkata siasatan tidak seharusnya terhad kepada empat orang sahaja.

Dua daripada Ahli Parlimen terbabit, Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli) berkata mereka masih belum menerima sebarang panggilan atau surat daripada SPRM setakat ini, lapor The Star.

Ini susulan komen Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada hari Khamis lepas bahawa suruhanjaya itu akan memanggil keempat-empat orang untuk siasatan sama ada terdapat unsur rasuah apabila mereka bertukar kesetiaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata SPRM tidak seharusnya sekadar  menghadkan siasatan terhadap empat ahli parlimen itu.

Ahli Parlimen Machang itu, yang lantang menentang peralihan kesetiaan oleh empat ahli parlimen tersebut, mengulangi dakwaan bahawa apa yang berlaku diusahakan oleh kerajaan sekarang.

Beliau berkata, pihak yang menawarkan dan kemudian memberi rasuah juga perlu dipanggil oleh SPRM.

Pada hari Khamis lepas, Azam berkata oleh kerana laporan polis telah dibuat atas dakwaan terdapat unsur rasuah dalam tindakan keempat-empat ahli parlimen itu, maka sememangnya adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat.

-BTS Media

Leave a Comment