BTS Media

PRK Kemaman tidak perlu, bebankan pengundi, kata Samsuri

Oleh Yusoff A. Shariff

NAIB Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pilihan raya kecil (PRK) Kemaman “dipaksa” ke atas pengundi kerana ada orang “kecewa” dan tidak berpuas hati dengan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Samsuri yang merupakan calon PAS berkata pilihan raya tidak perlu kerana ia membebankan pengundi, dan memerlukan mereka keluar mengundi buat kali ketiga dalam setahun.

Beliau berkata pilihan raya terpaksa diadakan kerana ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Pengundi di Kemaman perlu menghantar mesej yang jelas mengenai keputusan penting yang mereka buat pada PRU15,” kata Samsuri pada sidang media di Chukai, Kemaman.

PRK Kemaman bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, dan bekas Panglima Tentera Darat Jeneral bersara Raja Affandi Raja Noor, yang dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 2 Dis dengan pengundian awal ditetapkan pada 28 Nov.

Ia diadakan berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis untuk membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan ahli BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil, selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang dikatakan bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan PRU15 bagi kerusi parlimen berkenaan.

Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kemaman yang dimenangi Che Alias dengan 65,714 undi (majoriti 27,179) mengalahkan calon BN Ahmad Said; calon PKR, Hasuni Sudin dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

Sementara itu, Samsuri berkata sokongan PN semakin meningkat sejak keputusan mahkamah pilihan raya itu.

-BTS Media

Leave a Comment