BTS Media

Pengundi positif Covid-19 perlu lapor status mereka melalui MySejahtera

PENGUNDI positif Covid-19 perlu melaporkan status kesihatan mereka melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan panduan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang media mengenai keadaan semasa Covid-19 di Sungai Buloh pada Khamis berkata, garis panduan tersebut akan dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta pautan berkaitan.

“Bila klik pautan tersebut, mereka akan dapat maklumat tentang garis panduan mengundi bagi individu positif Covid-19. Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam dan wajib memakai pelitup muka semasa berada di pusat mengundi.

“Mereka juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing dan perlu segera pulang selepas selesai mengundi dan juga diwajibkan memakai pelitup muka,” katanya.

Menurut Khairy, pada hari pengundian, pengundi positif Covid-19 mesti melaporkan status jangkitan mereka itu kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di pintu masuk pusat mengundi.

“Pesakit Covid-19 akan diiringi oleh KKM sehingga pintu masuk bilik mengundi maksudnya, mereka tidak akan beratur dengan pengundi lain…sebab setelah KKM membuat penilaian risiko, kita tidak mahu individu positif Covid-19 untuk bersama dengan pengundi lain.

“Kita tidak boleh buat saluran baharu kerana seperti dimaklumkan, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) punya kekangan sumber dan sebagainya, jadi kita benarkan mereka (pesakit Covid-19) masuk, mengundi, keluar dan balik,” katanya pendekatan itu adalah paling selamat dan efisien untuk membenarkan individu positif Covid-19 keluar mengundi.

Beliau meminta pengundi lain agar bersabar sekiranya melihat mana-mana individu dibawa terus ke bilik mengundi pada hari pengundian PRU15.

Selain itu, KKM menasihatkan semua pengundi agar menggunakan cecair sanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain juga disyorkan membawa cecair sanitasi sendiri serta mematuhi penjarakan bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Sebelum ini semalam, Khairy berkata, KKM tidak melaksanakan sistem laluan khas bagi individu positif Covid-19 di tempat mengundi pada PRU15.

-BTS Media

Leave a Comment