GAMBAR ATAS: カテキン, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.
Oleh Zainal AS Rashid
SEBUAH kapal persiaran yang membawa ratusan penumpang didapati sah positif COVID-19 berlabuh di pelabuhan Sydney, Australia kelmarin.
Menurut laporan CNN Travel, Presiden Carnival Cruise Line Australia, Marguerite Fitzgerald penularan Covid-19 itu disedari selepas kapal persiaran Majestic Princess menghabiskan separuh daripada pelayaran 12 hari.
“Selepas ujian besar-besaran dilakukan terhadap 3,300 penumpang, dianggarkan 800 disahkan positif COVID-19, begitu juga dengan sebilangan kecil anak kapal,” katanya.
Kapal persiaran itu dinaiki 4,600 penumpang berserta anak kapal.
Jurucakap Princess Cruises, yang dimiliki oleh syarikat Carnival Cruise Briana Latter, kesemua kes positif hanya bergejala ringan atau tidak menunjukkan gejala, dan mereka telah dikuarantin di dalam bilik.
Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW Health) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penumpang yang didapati negatif Covid-19 dibenarkan meninggalkan kapal.
“Carnival memaklumkan kepada NSW Health bahawa pihaknya membantu penumpang yang dijangkiti untuk menguruskan perjalanan yang selamat selepas meninggalkan kapal,” tambah kenyataan itu.
Minggu lalu, Jabatan Kesihatan New South Wales mencatatkan sebanyak 19,800 kes baharu COVID-19 dengan 22 kematian.
Kapal Majestic Princess kemudian berlepas dari Sydney dan meneruskan pelayaran ke Melbourne dan Tasmania.
-BTS Media