BTS Media

Pesakit Covid-19 sepatutnya dibenarkan mengundi

Keutamaan ialah bagi menstabilkan situasi Covid-19 sebelum pilihan raya umum diadakan.

Oleh Fetty Rara

Semua rakyat berdaftar perlu dibenarkan untuk mengundi pada pilihan raya.

Pihak berkuasa kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mencari protokol paling selamat untuk membolehkan mereka yang positif Covid-19 mengundi, kata Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pelaksanaan protokol ini penting kerana koronavirus akan kekal berada dalam masyarakat dan pengundi tidak seharusnya dinafikan hak perlembagaan mereka kerana penyakit berkenaan.

Khairy berkata pihaknya sedang berusaha mencari cara paling selamat untuk individu yang dijangkiti mengundi,” katanya selepas melancarkan laporan tahunan Clinical Research Malaysia pada Isnin (221 Mac) di Putrajaya.

Beliau berkata isu membabitkan pengundi yang dijangkiti tidak dibenarkan membuang undi semasa pilihan raya Johor baru-baru ini adalah kerana ketiadaan protokol ketika itu.

Pada 12 Mac, seorang wanita dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi di Larkin walaupun tidak menamatkan kuarantinnya selepas disahkan positif Covid-19.

Khairy menegaskan bahawa terdapat cadangan supaya pesakit Covid-19 dipertimbangkan untuk pengundian pos, tetapi ini masih menjadi masalah jika mereka didapati positif sejurus sebelum pengundian.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk menyediakan protokol. Kami bukan sengaja menangguhkan (pilihan raya), walaupun pertimbangan politik merupakan antara faktor, namun kesihatan awam perlu menjadi keutamaan apabila pilihan raya umum dibincangkan,” katanya.

Khairy berkata keutamaan ialah bagi menstabilkan situasi Covid-19 sebelum pilihan raya umum diadakan dan negara perlu menunggu sekurang-kurangnya beberapa bulan selepas 1 April, apabila Malaysia mula beralih ke fasa endemik.

-BTS Media

Leave a Comment