BTS Media

Food Panda mungkin dijual bulan depan

Oleh Yusoff A. Shariff

PENJUALAN operasi penghantaran makanan Food Panda semakin hampir.

Menurut sumber dipetik NST, Delivery Hero yang tersenarai di Frankfurt, Jerman mungkin memeterai perjanjian untuk melupuskan operasi foodpanda yang dimilikinya di sini menjelang Disember.

Operasi di Malaysia adalah satu daripada tujuh pasaran foodpanda di Asia Tenggara yang akan dilupuskan oleh Delivery Hero.

Difahamkan Grab Holdings Ltd yang berpangkalan di Singapura bakal pembeli.

Pasaran serantau lain ialah Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

Sumber menyatakan bahawa kebanyakan kakitangan foodpanda Malaysia masih tidak tahu mengenai rancangan penjualan tersebut, walaupun ada yang mula bersiap sedia untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Foodpanda Malaysia ketika dihubungi berkata penjualan operasi sesebuah syarikat bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Foodpanda ialah syarikat penghantaran makanan kedua terbesar di Asia Tenggara, dengan penguasaan 30-40 peratus pasaran penghantaran makanan di setiap negara.

Delivery Hero baru-baru ini mengesahkan bahawa ia sedang berbincang untuk menjual perniagaan foodpanda di rantau ini.

Majalah perniagaan Wirtschaftswoche Jerman yang pertama kali melaporkan berita tentang penjualan itu pada  lewat bulan September lalu, menyatakan bahawa Grab antara pembeli berpotensi dan mampu membelanjakan lebih satu bilion euro untuk memperoleh foodpanda di kesemua tujuh pasaran.

Delivery Hero, bagaimanapun, menyatakan bahawa nilai perjanjian itu masih belum disahkan.

Segmen Asia operasi syarikat tersebut termasuk Bangladesh, Kemboja, Hong Kong, Laos, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Dalam laporan tahunan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak 52.22 juta euro.

Sementara itu, penganalisis berkata harga saham Grab akan meningkat jika pengambilalihan itu diteruskan.

Syarikat tersebut boleh memperoleh sebahagian besar daripada pasaran penghantaran makanan dalam talian di rantau ini jika ia mengambil alih foodpanda.

Grab tersenarai di bursa saham NASDAQ pada 2 Dis 2021.

-BTS Media

Leave a Comment