BTS Media

Harga beras naik lagi bulan depan?

Oleh Zainal AS Rashid

PENGARAH Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin hari ini memberi amaran bahawa harga pek beras 10kg akan naik sekurang-kurangnya RM1, mulai bulan depan.

Beliau berkata, kenaikan harga itu merupakan penambahan kenaikan antara RM1 dan RM2 bulan lepas, termasuk beras putih import.

“Kami telah diberitahu oleh pembekal bahawa akan ada peningkatan lagi antara RM1 hingga RM2 bagi setiap beg 10kg. Ini jelas akan meningkatkan harga jualan runcit sebanyak RM1 hingga RM2 setiap beg,” katanya kepada FMT.

Ameer berkata pembekal sudah mula menjual beras putih keluaran tempatan, Tempatan Super Istimewa 5% pada RM12.80 bagi satu beg 5kg, berbanding RM12.50 sebelum ini.

“Kos kami juga telah meningkat daripada RM12.50 setiap beg 5kg kepada RM12.80 setiap beg 5kg, tetapi kami masih perlu menjual pada harga RM13,” katanya.

Buat masa ini, beras putih keluaran tempatan dijual pada harga terkawal RM2.60 sekilogram, atau RM13 sebekas 5kg dan RM26 sebungkus 10kg.

Pada 7 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat bahawa harga beras putih keluaran tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, walaupun harga beras putih import meningkat.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan harga beras putih keluaran tempatan terus diberi subsidi walaupun harga beras import meningkat lima peratus.

Sementara itu, presiden Persatuan Pemilik Restoran India (PRIMAS), J Suresh mengingatkan bahawa kenaikan harga beras import, bersama-sama dengan kenaikan bahan mentah, boleh memaksa pengusaha restoran menaikkan harga mereka.

Dia berkata, ini bermakna program Menu Rahmah RM5 di premis makanan terpilih yang diperkenalkan oleh kerajaan mungkin akan berakhir.

Suresh berkata menu itu menyebabkan pengusaha restoran menyerap kos tertentu, yang hanya boleh bertahan sebulan lagi.

Bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata pihaknya sudah meminta maklumat daripada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) mengenai perkara itu.

“Mungkin lewat petang ini kita akan peroleh, desas-desus (berlaku) kenaikan (harga) itu tiada lagi, bukan keputusan daripada kerajaan lagi,” katanya kepada media di Sepanggar, Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dan KPKM akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini kemudian.

Menurut beliau, masih belum ada keputusan daripada kerajaan tentang harga beras pada masa ini, dan walaupun terdapat laporan media mendakwa harga beras dijangka naik bulan depan kerana bekalan berkurangan akibat kesan El Nino.

Beliau berkata kementeriannya bersedia untuk berdepan dengan sebarang kesan akibat cuaca panas, termasuk berhubung harga beras.

-BTS Media

Leave a Comment