GAMBAR ATAS: Auswandern Malaysia, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
TAMBANG bas sekolah dijangka naik bulan depan berikutan peningkatan kos operasi, kata Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia.
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata, faktor harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu, dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen memaksa mereka menaikkan harga tambang.
Katanya, sukar untuk mencari pemandu tanpa bayaran gaji yang baik.
“Gaji RM2,000 sebulan sekarang tidak menarik kerana pemandu boleh mendapat jumlah yang sama dengan kerja yang lebih kurang tekanan. Kami pernah mempunyai kira-kira 16,000 operator tetapi jumlah ini telah merosot hingga separuh,” katanya kepada FMT.
“Selain peningkatan kos operasi, pengusaha bas sekolah berlesen turut berdepan saingan serius daripada pengusaha haram yang menawarkan tambang lebih murah.
“Pemandu hari ini sukar didapati kerana mereka lebih suka memandu koc ekspres dan lori yang membayar gaji lebih mahal. Juga, pemandu tidak boleh bercuti sakit kerana persekolahan anak-anak akan terganggu.”
Mengenai jangkaan kenaikan tambang, Amali berkata pihaknya telah mengeluarkan garis panduan kadar bulanan mengikut perkhidmatan yang disediakan dan jarak, antara faktor lain.
Ini, katanya antara RM50 hingga RM1,000 kerana sesetengah ibu bapa mahukan bas sangat selesa yang boleh dikesan melalui GPS (Global Positioning System).
Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Tunku Munawirah Putra berkata kerajaan boleh menyediakan subsidi tambang bas dalam bentuk baucar bagi meringankan beban isi rumah B40 yang mempunyai anak bersekolah.
Tunku Munawirah menegaskan bahawa tambang bas sekolah lebih tinggi merupakan isu yang sering dibangkitkan tetapi tiada penyelesaian yang sewajarnya diperoleh. Oleh itu, beliau mencadangkan campur tangan kerajaan.
“Kerajaan boleh memberi baucar tunai kepada mereka yang memerlukan, terutamanya golongan B40. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah dan ini boleh menyebabkan mereka tercicir jika tidak dibantu,” katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) N. Marimuthu berkata isu ini mesti diselesaikan sebelum sekolah dibuka semula kerana sesetengah isi rumah perlu membayar tambang bas sekolah sebanyak RM500 untuk anak mereka.
“Keluarga B40 amat memerlukan bantuan kerajaan kerana setiap isi rumah mempunyai sehingga lima anak atau lebih. Selain itu, pengusaha bas sekolah dan pemandu juga akan mendapat manfaat daripada subsidi kerana mereka terkesan teruk oleh pandemik Covid-19.
“Ramai pemandu kehilangan pekerjaan dan subsidi akan membantu mereka.”
-BTS Media