BTS Media

Suhu bulan-bulan akan datang dijangka lebih panas

Oleh Zainal AS Rashid

PENDUDUK Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi cuaca yang lebih panas kerana negara dijangka mengalami fenomena El Nino.

Negara dijangka mengalami keadaan El Nino yang lemah mulai bulan ini sebelum mencapai tahap sederhana dalam dua bulan terakhir tahun ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Secara amnya, cuaca lebih panas dan kering dijangka berlaku dari Jun hingga Oktober 2023.

“Sehingga 30 Mei, keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral dan dijangka beralih kepada keadaan El-Nino yang lemah mulai Jun dan mencapai intensiti sederhana pada bulan November dan Disember.

“Lazimnya, keadaan El Nino boleh menyebabkan suhu di negara ini meningkat sekitar 1ºC hingga 2ºC.

“Bagaimanapun, MetMalaysia menjangkakan tiada suhu melampau melebihi 38ºC berlaku di Malaysia dari Jun hingga Disember,” kata jabatan itu kepada The Star.

Menurut agensi itu, April merupakan bulan paling panas di Malaysia tahun ini berbanding bulan-bulan lain.

Suhu harian maksimum 38.6ºC yang direkodkan oleh stesen kaji cuaca di Raub, Pahang, pada 16 April adalah suhu tertinggi yang dicatatkan dari Januari hingga April.

Ia dijangka kekal suhu tertinggi di Malaysia tahun ini, kata MetMalaysia, sambil menambah tiada stesen meteorologi mencatatkan bacaan melebihi 37.5ºC pada Mei.

Sementara itu, penduduk Malaysia diingatkan supaya merujuk laman web MetMalaysia untuk menyemak tahap Indeks Ultraungu (UV) negara, yang dikemas kini setiap hari.

Indeks UV, yang menyukat tahap radiasi UV suria di permukaan bumi, ditetapkan pada skala dari sifar ke atas.

Skala dua ke bawah pada indeks tersebut dianggap rendah, manakala tiga hingga lima adalah sederhana dan enam hingga tujuh, tinggi.

Julat antara lapan dan 10 dianggap sangat tinggi, manakala 11 ke atas adalah dalam kategori melampau.

Menurut MetMalaysia, Indeks UV untuk negara dianggarkan berada dalam lingkungan tiga hingga tujuh dalam keadaan mendung.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tiada awan, keamatan UV boleh mencapai julat indeks yang melampau 11 hingga 14.

“Pendedahan kepada tahap sinaran UV yang melampau boleh menjejaskan fungsi tisu dan organ serta menghasilkan kesan seperti loya dan muntah, kemerahan kulit, keguguran rambut dan luka bakar akibat sinaran.

“Bagi pendedahan berpanjangan kepada sinaran UV, sindrom sinaran akut dan kematian boleh berlaku,” katanya.

Menurut pemerhatian Indeks UV setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 3 petang, didapati bulan April mencatatkan bacaan tertinggi, mencecah antara lapan dan 14.

Bulan berikutnya menyaksikan pengurangan di mana Indeks UV maksimum menurun kepada julat antara tujuh dan 12 pada bulan Mei.

Menurut amaran cuaca panas jabatan pada hari Sabtu, tiga daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Temerloh dan Bentong serta Kinabatangan di Sabah berada di bawah Amaran Kuning untuk suhu tinggi antara 35°C hingga 37°C selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Semua bahagian lain di negara ini merekodkan suhu maksimum di bawah 35°C pada hari Sabtu.

MetMalaysia menganggapnya sebagai gelombang haba apabila lokasi berkenaan mengalami suhu maksimum antara 37°C dan 40°C untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Gelombang haba melampau ialah apabila suhu melebihi 40°C selama tiga hari berturut-turut.

-BTS Media

Leave a Comment