BTS Media

Kementerian mula siasat restoran tepi jalan kenakan bayaran RM1,200 kepada pelanggan

Oleh Zainal AS Rashid

JOHOR BARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor telah menghantar pasukan penyiasat susulan video viral sebuah restoran tepi jalan di Tepian Tebrau mengenakan bayaran RM1,200 kepada pelanggan mereka.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemilik restoran boleh dikenakan kompaun sekiranya makanan yang dijual tidak memaparkan harga, lapor The Star.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan jika harga dipaparkan berbeza dengan harga yang dikenakan kepada pelanggan.

“Jika harga terlalu mahal walaupun dengan harga yang dipaparkan, maka kami akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Kawalan Harga dan Antipencatutan Akta (AKHAP) 2011,” katanya ketika dihubungi.

Lilis menambah, Seksyen 21 memperuntukkan siasatan dijalankan mengenai cara pengiraan harga dibuat oleh pemilik restoran dan sama ada terdapat sebarang cubaan mengaut keuntungan.

Individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta itu boleh didakwa di mahkamah dengan denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM250,000, penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Baru Datuk Noorazam Osman berkata pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap pemilik premis berdasarkan cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor.

“Kita boleh membatalkan lesen mereka jika Kementerian mengarahkannya,” katanya.

Terdahulu, video tular di Facebook oleh seorang pengguna bernama Ekin Cahaya menunjukkan resit RM1,260 untuk makanan yang dibayarnya selepas makan di restoran berkenaan.

Pada masa penulisan, video itu telah mendapat lebih daripada 62,000 tontonan.

-BTS Media

Leave a Comment