Oleh Zainal AS Rashid
TELEKOM Malaysia (TM) hari ini (12 Julai) telah mengeluarkan SMS memaklumkan pengguna Unifi bahawa berlaku kebocoran data yang menjejaskan sesetengah pelanggan.
“Kebocoran data melibatkan maklumat tertentu pelanggan Unifi terpilih telah berlaku.
“Kami telah mengasingkan risiko dan langkah keselamatan tambahan dilaksanakan untuk melindungi pelanggan kami dan memaklumkan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” kata syarikat itu, lapor The Star.
Ketika dihubungi, wakil TM berkata mesej itu adalah pemberitahuan proaktif daripada syarikat tersebut berhubung kejadian terbaharu tersebut, dan kenyataan penuh akan menyusul.
Dalam e-mel kepada pelanggan, TM berkata bahawa beberapa maklumat peribadi, seperti nama, nombor MyKad/pasport dan butiran untuk dihubungi mungkin juga telah dibocorkan.
TM berkata maklumat lain tidak terjejas.
Ia juga menasihati pelanggan supaya mengelak daripada mengklik pautan atau memuat turun lampiran daripada e-mel yang mencurigakan dan berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali.
Dalam respons kepada Tweet daripada seorang pengguna yang memaklumkan menerima SMS tersebut, syarikat itu berkata mereka mengambil maklum tentang perkara tersebut.
TM Ia juga mengesahkan bahawa kebocoran telah dibendung dan langkah-langkah diambil untuk meminimumkan potensi kesan terhadap pelanggan yang terjejas.
Ini adalah kejadian kali kedua yang dialami TM.
Pada bulan Disember 2022, syarikat itu mengesahkan bahawa kebocoran data telah menjejaskan 250,248 pelanggan Unifi Mobile.
Insiden itu terbongkar apabila seorang pakar keselamatan sistem mendedahkan tentang satu post yang mendakwa menjual maklumat pelanggan.
-BTS Media