BTS Media

Pekerja dipukul kerana tegur pelanggan ambil lauk guna tangan

BERANG selepas ditegur mengambil lauk menggunakan tangan dipercayai menjadi punca tiga lelaki memukul dua pekerja restoran nasi kandar.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kejadian berlaku di sebuah restoran di Cyberjaya malam semalam dan tiga lelaki terbabit ditahan tidak lama selepas video pergaduhan itu tular.

Wan Kamarul berkata, dua pekerja restoran itu mendakwa dipukul selepas menegur suspek kerana mengambil lauk dengan tangan dalam kejadian 7.30 malam, lapor Utusan Malaysia.

“Berang akibat ditegur, dua suspek kemudian memukul pekerja berkenaan termasuk menggunakan penyepit besi makanan menyebabkan mangsa cedera ringan.

“Mangsa mendakwa, dua suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Menurutnya, mangsa mengalami lebam di leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul selain kerugian apabila beberapa peralatan kedai rosak dan banyak lauk tercemar terpaksa dibuang.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun berjaya ditahan di dua lokasi berasingan pagi tadi.

Katanya, siasatan juga mendapati dua daripada suspek masing-masing bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Wan Kamarul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/03/17/pekerja-dipukul-kerana-tegur-ambil-lauk-guna-tangan/

Leave a Comment