Oleh Fetty Rara
SEJAK dilancarkan pada April, beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan kekurangan bekalan kad Touch ‘n Go NFC dengan menjualnya pada harga amat tinggi.
Harga sekeping kad Touch ‘n Go NFC berharga hanya RM10, tetapi dijual dengan harga RM100 hingga RM168 secara ‘online’.
Perkara itu telah berlaku sejak berbulan tanpa tindakan diambil oleh pihak berkuasa sehinggalah sekarang, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akhirnya “mengesan” penjualan kad tersebut pada harga tidak masuk akal.
Dalam satu kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata bahagian penguatkuasaan telah menerima empat aduan rasmi mengenai perkara itu dan mengesan 13 penyenaraian jualan melalui beberapa platform dalam talian.
Beliau berkata, kegiatan itu turut membabitkan seorang pekerja stesen minyak yang didapati menjalan aktiviti tersebut apabila dikesan menjual kad TNG NFC kosong pada harga lima kali ganda lebih tinggi melalui platform penjualan dalam talian.
Setakat ini, berpandukan maklumat yang diperoleh dari platform penjualan dalam talian kementerian telah melakukan pemeriksaan ke atas 11 premis persendirian dan persendirian berhubung kes ini.
Menurut Nanta, sebanyak enam notis telah dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) 2011 kepada pihak terbabit.
Mereka yang diberikan notis tersebut dikehendaki mengemukakan jawapan atau penjelasan rasmi kepada bahagian penguatkuasaan KPDNHEP.
Beliau berkata, jika ingkar mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas.
Selain itu, Nanta berkata kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Touch ‘n Go untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penjualan kad NFC itu, dan sebab bekalan sangat terhad.
-BTS Media