Oleh Yusoff A. Shariff
Seorang pekerja kaunter stesen minyak didapati menjual kad NFC Touch ‘n Go pada harga lebih lima kali ganda secara online, walhal harga sebenar hanya RM10.
Kegiatan itu berjaya dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penjualan kad NFC TnG sejak April tahun ini dipersoalkan setelah orang ramai mengadu ia sukar dibeli kerana pihak Touch ‘n Go sering kali kehabisan bekalan.
Menurutnya, bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menerima empat aduan, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa saluran dalam talian, lapor Sinar Harian.
“Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada kementerian.
“Pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.
Menurut Alexander , kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini bagi mengetahui perkembangan semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC.
-BTS Media