BTS Media

TNG gesa pelanggan beli kad jenis NFC baharu daripada penjual rasmi, tapi stok habis

GAMBAR ATAS: Touch n Go.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Touch ‘n Go (TnG) menggesa pelanggan membeli kad keluaran baharu daripada saluran rasmi.

Ini berlaku selepas beberapa penipuan dilaporkan berlaku apabila pelanggan cuba membeli daripada saluran tidak rasmi yang menawarkan harga terlalu tinggi, hingga RM90 satu, walhal harga sebenar hanya RM10.

Syarikat TNG menasihati pelanggan membeli kad tersebut menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, dan dari beberapa lokasi di seluruh negara, seperti yang dinyatakan dalam laman web mereka.

Bagaimana pun, kad baharu yang dikeluarkan minggu lepas sekarang kehabisan stok melalui eWallet.

Selain itu, pelanggan mengadu bahawa di outlet yang disyorkan juga kad tersebut habis dijual.

Alasan yang diberikan oleh TNG ialah kerana permintaan didapati melebihi bekalan dan mendakwa berlaku kekurangan bekalan cip di seluruh dunia.

TNG menjelaskan bahawa stok sedang ditambah dari semasa ke semasa. Pelanggan dinasihatkan supaya mendaftar melalui eWallet agar dapat dimaklumkan apabila stok ada.

Syarikat itu juga berkata usaha menghasilkan kad baharu itu merupakan kerjasama dengan pihak tempatan dan antarabangsa.

Pada 25 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob mengumumkan perjalanan bebas tol serta diskaun antara 30% hingga 50% bagi pengguna lebuh raya dari 30 April hingga 1 Mei, dan 7 hingga 8 Mei sempena perayaan Hari raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Azman Ismail dalam satu kenyataan berkata pengguna masih perlu mengimbas kad TNG mereka pada alat pengesan di lorong tol sepanjang tempoh bebas tol dan diskaun untuk membolehkan syarikat mengumpul data trafik. Ia juga terpakai bagi mereka yang menggunakan RFID dan SmartTag.

Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan RFID perlu memastikan mereka keluar masuk lebuh raya dengan hanya menggunakan lorong RFID, dan seperti kad Touch ‘n Go dan SmartTag, tiada bayaran tol akan dikenakan atau dipotong daripada eWallet mereka.

Pelanggan juga dinasihatkan supaya melayari portal Touch ‘n Go untuk menyemak status kad TNG mereka bagi mengelak kesesakan di lorong tol akibat kad tidak aktif.

-BTS Media

Leave a Comment