MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub akan memanggil wakil Touch ‘n Go untuk menjelaskan isu-isu berkaitan kad prabayar Visa anak syarikat CIMB yang baharu dilancarkan itu.
Salahuddin berkata bahagian penguatkuasaan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan wakil Touch ‘n Go esok, di mana pihaknya dijangka menangani aduan orang ramai berhubung kad tersebut.
“Saya telah menerima banyak aduan mengenai isu itu dan telah memaklumkan bahagian penguatkuasaan kami untuk melihat perkara tersebut secara serius.
“Bahagian itu akan memanggil wakil Touch’n Go untuk menghadiri mesyuarat esok dan memberi penjelasan kepada kementerian,” kata Ahli Parlimen Pulai itu dalam catatan Twitter hari ini.
Pada hari Rabu, syarikat itu memperkenalkan kad Visa baharunya, yang mempunyai fungsi kad debit, tetapi tidak boleh digunakan untuk membayar tol lebuh raya atau tambang pengangkutan awam.
Syarikat itu telah menegaskan bahawa cip NFC untuk teknologi payWave dan Touch ‘n Go tidak serasi.
Masalah itu ditemui semasa fasa pembangunan awal kad.
Isu tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai, yang menyatakan kekeliruan mengenai sebab di sebalik kad baharu itu, yang akan dikenakan yuran tahunan RM8 dan caj RM1.40 untuk setiap transaksi ATM.
-BTS Media