BTS Media

Lazada labur dalam Touch ‘n Go eWallet

Oleh Yusoff A. Shariff

LAZADA Group kini muncul sebagai pelabur terbaharu dalam syarikat pengendali Touch ‘n Go eWallet, TNG Digital Sdn Bhd, yang sebahagian besar dimiliki oleh CIMB Group Holdings dan syarikat berpangkalan di China, Ant Group.

Semalam (Isnin 25 Julai) diumumkan bahawa TNG Digital telah memperuntukkan sebanyak RM750 juta daripada pusingan pendanaan ekuiti terbaharunya, diterajui pelaburan baharu oleh Lazada dan pelaburan susulan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd.

Bagaimana pun, jumlah sebenar pelaburan oleh Lazada tidak didedahkan.

Touch ‘n Go Sdn Bhd ialah syarikat induk TNG Digital, yang dimiliki sepenuhnya oleh CIMB.

Kumpulan Touch ‘n Go berkata pelaburan baharu itu mengukuhkan kerjasama antara peneraju segmen utama, satu dalam eDagang dan satu lagi dalam perkhidmatan dan pembayaran digital.

Pusingan pembiayaan terkini menjadikan jumlah yang dikumpulkan oleh TNG Digital dalam tempoh 18 bulan lalu kepada lebih RM1bil.

Selain Touch ‘n Go dan Lazada, pemegang saham lain TNG Digital termasuk Ant Group, syarikat insurans AIA Group dan dana teroka BowWave Capital yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Touch ‘n Go Effendy Shahul Hamid dalam satu kenyataan berkata kerjasama dengan Lazada akan meningkatkan nilai kepada pengguna, pedagang, dan ekosistem Lazada/Touch ‘n Go.

-BTS Media

Leave a Comment