Oleh Yusoff A. Shariff
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf atas kesilapan yang mengakibatkan lebih 11,000 data pemohon bocor.
UiTM menerusi Twitter mengesahkan pautan ke senarai 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon tidak lagi aktif selepas kemas kini dibuat.
Ini berikutan catatan pengguna Twitter @imraimy, yang mendakwa UiTM telah menyiarkan senarai hampir 12,000 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon sebagai pautan tidak selamat.
Pengguna itu berkata nombor kad pengenalan dan alamat e-mel mereka adalah sebahagian daripada data yang bocor.
Sebagai respons kepada tweet itu, UiTM berkata pihaknya telah mengambil maklum perkara itu dan meminta pengadu menghubungi universiti untuk tindakan lanjut.
Portal lowyat.net melaporkan bahawa pada 2019 sebanyak 1,164,540 rekod pelajar yang mendaftar antara 2000 dan 2018 untuk pengajian di UiTM telah bocor dalam talian.
Data yang bocor itu didakwa membabitkan rekod terperinci pelajar UiTM dari kampus induk di Shah Alam dan 13 kampus negeri di seluruh negara.
-BTS Media